Saturday, September 13, 2008

Kezaliman ISA

Sehingga hari ini, 3 orang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan menimbulkan ketegangan kaum. Mereka ialah pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Kamarudin, wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng, dan ahli Parlimen dari DAP Teresa Kok. Sila lihat artikel di sini.

Apakah bukti yang menunjukkan mereka ini menimbulkan ketegangan kaum di Malaysia? Sekiranya ada bukti, mengapa tidak dibawa sahaja ke mahkamah untuk dihukum di bawah Akta hasutan dan sebagainya? Apakah yang ditakuti oleh kerajaan untuk membawa mereka ke muka pengadilan? Adakah kerajaan juga tidak yakin dengan proses undang-undang di Malaysia? Persoalan demi persoalan timbul akibat tindakan tidak bertamadun ahli-ahli politik yang ingin menjaga periuk nasi mereka.

Kerajaan juga bersikap pilih kasih dalam melaksanakan keadilan. Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas ingin mengelakkan pertelingkahan kaum, mengapa Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera yang mengatakan bahawa orang bukan Melayu sebagai kaum pendatang tidak dikenakan tindakan yang sama. Dibandingkan ISA dengan penggantungan keahlian Umno selama 3 tahun, sudah pasti setiap orang yang waras tahu yang manakah lebih ringan.

Islam sentiasa menekankan keadilan kepada semua, tidak mengira agama dan bangsa. Berikut petikan dari artikel Ustaz Hasrizal. Artikel penuh di sini.

"Tatkala Allah SWT mengungkapkan di dalam ayat itu, bahawa hukuman tahanan ke atas Yusuf adalah ‘hingga ke suatu masa’, saya tidak dapat lari dari tersungkur di hadapan segala keperitan yang ditanggung oleh tahanan ISA di negara kita. Yusuf dan mereka yang terkurung atas nama ISA, bukan dipenjara tetapi mereka ditahan. Ia bukan hukuman, tetapi suatu bentuk penyeksaan...."

No comments: